Tarikh Terbaik Untuk Berbekam Adalah Pada 17, 19 Dan 21 Bulan Hijrah.(Kalendar Islam)
Sunday, 27 March 2011
On 11:36 by Faiz Al-Hadid in InfoBerita
ULIT kena toreh dengan pisau ke?" tanya jurugambar ketika Pengurus Darul Irsyad, Mohd. Gadafi Mohd. Zuki menunjukkan proses melakukan bekam di pejabatnya, di Jalan 4/1, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.
"Tak, sekarang ada teknik moden. Kita hanya menggunakan jarum (lenset) pen. Proses cepat dan selamat," ujar Mohd. Gadafi.
Apabila menyebut tentang berbekam, gambaran biasa adalah rawatan yang agak 'mengerikan'. Bahagian tertentu pada padan ditoreh dengan pisau mengeluarkan darah yang banyak memenuhi mangkuk atau cawan bekam. Tentunya berasa kesakitan selain faktor terdedah kepada risiko komplikasi penyakit lain.
Biar pun begitu, bekam sememangnya popular bagi pesakit yang mahu mencuba rawatan alternatif mungkin disebabkan kos perubatan yang semakin meningkat.
Menjelaskan berkaitan salah faham berkaitan bekam sunah kata Mohd. Gadafi, bekam adalah rawatan mengeluarkan darah dari permukaan kulit untuk pengubatan dan mengekalkan kesihatan.
Bekam juga disebut satu proses terapi untuk membuang darah kotor atau darah toksik yang terdapat pada badan seseorang tanpa menggunakan bahan kimia.
"Bekam adalah satu daripada cara perubatan yang diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat. Baginda mengiktiraf bekam sebagai perubatan yang paling baik, sama ada untuk perawatan (curative) atau pencegahan (preventive) sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis. Pada zaman Rasulullah SAW bekam adalah dengan menggunakan tanduk," ujarnya.
Tambah Mohd Gadafi, bekam mengalami proses kemajuan dari segi kaedah atau tekniknya sejajar dengan perubahan masa.
Pesakit boleh membuat pilihan sama ada melakukan bekam cawan atau basah, bekam angin atau kering, bekam tarik dan bekam lintah.
Malah ia juga tidak berbahaya kerana tiada lagi penggunaan torehan pisau sebaliknya kaedah tusukan dengan menggunakan pen lenset (jarum) yang jauh lebih selamat dan bersih.
Dalam rawatan berbekam, kata Mohd. Gadafi, seseorang pengamal mestilah terlebih dahulu melakukan rundingan dengan pesakit,
Ia bagi mengetahui status kesihatan pesakit, membuat pemeriksaan awal, memberitahu gejala-gejala yang bakal timbul semasa dan selepas dibuat bekam.
Sumber: Utusan Malaysia 27/03/2011